Acara persaingan Rodeo

Lumba tong

Acara bermasa

Tanjul berpasukan: si lembu kasi ditanjul oleh si ketua sementara pengikutnya sedang mencuba lemparan tanjul.

Tanjul

Pertandingan tanjul berasaskan tugas seorang koboi yang menangkap lembu baik anak mahupun dewasa untuk tujuan menanda selar, rawatan perubatan dan sebagainya. Si koboi mesti melemparkan tali bergelung yang dikenali sebagai tanjul, riata atau reata, atau laso, ke atas kepala seekor anak lembu atau kepada tanduk atau di keliling kaki belakang lembu dewasa, lalu mengekang lembu itu secara yang ditentukan oleh besar badan dan umurnya.

  • Tanjul anak lembu (calf roping) atau tanjul ikat (tie-down roping) berasaskan kerja ladang di mana anak lembu ditanjul untuk ditanda selar, dirawat, atau lain-lain tujuan. Acara ini adalah acara bermasa rodeo yang tertua.[5] Si koboi menangkap seekor anak lembu yang berlari pada lehernya dengan tanjul tali, lalu kudanya berhenti dan menahan tali sementara si koboi turun, bergegas ke arah si anak lembu, menghempaskannya dan mengikat tiga batang kakinya sekali. (Jika si anak lembu tersungkur ketika ditanjul, maka si koboi mesti menunggu masa untuk si anak lembu bangun balik supaya koboi boleh menghempaskannya kembali.) Si kuda berperanan menahan si anak lembu pada talinya. Kuda penanjul anak lembu yang cukup terlatih akan berundur dengan perlahan sementara si koboi mengikat si anak lembu, supaya tali tanjulnya ketat.
  • Tanjul lepas (breakaway roping) adalah sebentuk acara tanjul anak lembu yang menggunakan tanjul yang sangat pendek dan diikat longar pada tanduk pelana dengan benang dan sehelai panji-panji. Apabila si anak lembu ditanjul di lehernya, si kuda berhenti, tali berpanji-panji itu terputus dari pelana, dan si anak lembu mencabut lari tanpa dihempaskan atau diikat. Di hampir seluruh Amerika Syarikat, acara ini khusus buat wanita dan kanak-kanak lelaki bawah umur 12 tahun. Di tempat-tempat yang melarang acara tanjul ikat anak lembu yang biasa, kedua-dua lelaki dan wanita bertanding dalam acara tanjul lepas.
  • Tanjul beregu (team roping) adalah satu-satunya acara rodeo yang mana lelaki dan wanita bertanding bersama. Dua orang pemain menangkap lalu mengekang seekor lembu kasi yang dewasa. Sepasang kuda dengan penunggang, iaitu "header" (ketua) menanjul tanduk si lembu yang berlari, sementara sepasang kuda dan penunggan yang satu lagi iaitu "heeler" (pengikut) menanjul kaki-kaki belakang si lembu. Setelah si lembu tertawan, kedua-dua penunggang saling bersemuka sambil menarik si lembu perlahan-lahan di antara mereka supaya ia hilang imbangan lalu terbaring. Teknik ini berasal dari kaedah menangkap dan menahan lembu untuk tujuan rawatan di ladang.

Acara bermasa lain

  • Lumba tong (barrel racing) merupakan acara bermasa yang menguji kelajuan dan ketangkasan. Dalam lumba tong, si kuda bersama penunggangnya menderap di kitar tong-tong yang tersusun dalam corak bentuk kelawar, melakukan belokan yang tangkas tanpa menumbangkan tong tersebut.[6] Dalam temasya rodeo profesional, kolej dan sekolah tinggi, lumba tong hanya disertai oleh wanita, tetapi kadang-kadang lelaki turut bertanding dalam pertandingan O-Mok-See.
Gusti lembu kasi
  • Gusti lembu kasi (steer wrestling atau Bulldogging) merupakan acara rodeo yang mana si penunggang melompat turun dari kudanya ke atas seekor lembu kasi Corriente lalu bergelut dengannya hingga terhempas dengan memegang tanduknya. Ini barangkalinya merupakan acara yang paling membahayakan badan dan nyawa bagi si koboi yang berdepan dengan risiko tinggi terlompat dari kuda yang berlari tetapi terlepas si lembu, ataupun dihempap oleh si lembu yang terhempas, lebih-lebih lagi dengan tusukan tanduk.
  • Ikat kambing (goat tying) lazimnya merupakan acara untuk wanita atau kanak-kanak berumur pra-remaja; yang mana si kambing dipancang sementara si penunggang di atas kudanya bergegas ke arah si kambing, turun kuda, mengambil si kambing, menghempaskannya dan mengikatnya seperti mana dengan anak lembu. Si kuda mesti tidak menyentuh si kambing atau tali penambatnya. Acara ini direka untuk mengajar penunggang kanak-kanak atau berbadan kecil asas-asas mengikat anak lembu tanpa memerlukan kemahiran menanjul haiwan yang lebih rumit. Acara ini tidak terangkum dalam pertandingan profesional.

Pertandingan "kasar"

Tunggang dompak; dalam acara "rough stock", selalunya si binatang yang "menang."

Acara-acara sebegini melibatkan kuda yang dilatih untuk sengaja bertindak kasar dengan penunggangnya apabila bertanding, iaitu yang bergelar bronc. Pertandingan lembu atau kuda kasar (rough stock) juga menggunakan sekurang-kurangnya dua kuda tunggangan terlatih rapi yang dinaiki oleh "penyelamat" (pick-up (wo)men) yang bertugas membantu penunggang yang terjatuh atau menolong penunggang yang berjaya selamat turun dari haiwan yang mendompak.

  • Tunggang dompak (bronc riding) terdiri daripada dua bahagian, iaitu tunggang dompak tanpa pelana yang mana si penunggang hanya dibenarkan untuk berpegang pada kuda yang mendompak dengan sejenis tali kendit perut yang bergelar rigging; dan tunggang dompak berpelana yang mana penunggang menggunakan pelana khusus tanpa tanduk (untuk keselamatan) dan berpegang pada tali plumbum yang berat iaitu bronc rein yang terpasang pada tali kajai kuda.
  • Tunggang lembu merupakan acara yang mana koboi menunggang lembu jantan yang matang sepenuhnya daripada kuda. Walaupun kemahiran dan kelengkapannya serupa dengan yang diperlukan untuk tunggang dompak tanpa pelana, namun acaranya jauh berbeza dengan acara berkuda kerana bahayanya yang lebih besar. Memandangkan lembu jantan sukar diduga tindak-tanduknya, apalagi boleh mengasari penunggang yang terjatuh, maka pelawan lembu atau "badut rodeo", bertindak untuk mengalih perhatian si lembu sambil mengelak kecederaan terhadap pemain.
Tunggang lembu